CikguAzman.com

perkongsian dari seorang guru

2021

Bantuan Komputer Riba dan Internet Percuma Untuk Pelajar Sekolah

Bantuan komputer riba dan Internet percuma yang diilhamkan dari Yayasan Hasanah. Walau bagaimanapun, tiada permohonan bantuan diperlukan kerana pemilihan akan dilakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Bantuan komputer riba, inisiatif CERDIK

Inisiatif CERDIK yang menyediakan akses digital meliputi komputer riba, tablet dan sambungan data untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah akan dilaksanakan bermula Februari 2021, lapor Berita Harian.

Sumbangan RM150 juta

Yayasan Hasanah dalam satu kenyataan berkata, inisiatif CERDIK ini membabitkan sumbangan berjumlah RM150 juta daripada 13 syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mewakili syarikat di bawah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PETRONAS.

Langkah ini dilaksanakan bagi membantu pelajar mengadaptasi norma baharu sesi persekolahan dalam talian, e-pembelajaran dan pengajaran di luar bilik darjah.

Pemilihan pelajar dan sekolah oleh KPM

Pemilihan pelajar dan sekolah ditentukan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), yang juga akan meneliti spesifikasi perkakasan dan perisian untuk memastikan pelaksanaan yang lebih mampan termasuk sokongan jaminan, kebolehgunaan, dan jangka hayat yang lebih lama untuk pembelajaran digital masa depan.

Projek yang akan diselia oleh Yayasan Hasanah itu akan memberi bantuan komputer riba kepada 150,000 murid di 500 sekolah sebagai projek rintis.

Untuk pembelajaran berkualiti

Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari, berkata yayasan itu amat komited untuk menyokong inovasi dan pengembangan model pembelajaran yang mempromosikan kesaksamaan dan keadilan bagi membolehkan akses pembelajaran berkualiti untuk semua.

Hasanah bekerja dengan amat rapat bersama KPM dalam mereka bentuk inisiatif CERDIK bagi memastikan kemampanan pelaksanaannya.

CERDIK akan mengagihkan peringkat pertama peranti ini bermula dari Februari dan seterusnya.

Sejak 2010, Yayasan Hasanah dan Khazanah telah bekerja bersama KPM dalam inisiatif pendidikan pelbagai tahap-sistem bagi menyokong pendidikan inklusif untuk pelajar di Malaysia.